Alhamdulilah, Terima Kasih Pemuda
Hanya syukur, ‘Alhamdulilah’ dapat diluahkan kepada Allah SWT. Hanya setinggi-tinggi penghargaan dapat diucapkan kepada Pemuda UMNO kerana menyelesaikan kisah “cinta Lombok” yang memisahkan anak mereka.
Episod ‘Cinta Lombok’ sekali lagi diselesaikan oleh Biro Pengaduan Pemuda Umno yang membawa pulang Rosnah Abu Bakar ke pangkuan keluarganya di sini setelah lebih tiga tahun mengikuti kekasihnya ke daerah Indonesia itu.
Keluarga Abu Bakar Aziz, mandur sebuah ladang kelapa sawit di sini, berterima kasih kepada UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu khususnya Ketuanya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Ketua Pemuda Bahagian itu, Mustafa Kamal Shaikh Ismail, kerana mengambil inisiatif membawa pulang Rosnah.
Rosnah, 20, tiba bersama anak perempuan berusia 14 bulan petang semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan disambut oleh ayahnya Abu Bakar.
Rosnah, yang diiringi bapanya kemudian menaiki bas dari Shah Alam untuk pulang ke rumah mereka di Taman Sungai Dingin di sini pada 5 pagi tadi dan kepulangannya disambut dengan linangan air mata oleh ibunya Sombi Md Isa, 41, dan lima adiknya.
Anak sulung daripada enam beradik itu melarikan diri setelah dihalang oleh keluarganya berkahwin dengan kekasihnya, seorang pemuda Lombok pada 2007.
Ketika ditemui Rabu, Rosnah yang kelihatan dalam keadaan ‘ingat-ingat lupa’, enggan menceritakan kisahnya mengikuti pemuda Lombok bernama Salihin @ Suherman, 25, sehingga mereka berkahwin.
Bagaimanapun, katanya, keluarga Suherman melayan beliau dengan baik pada mulanya walaupun makanan seharian mereka hanya nasi dan ulam-ulaman dan sekali-sekala ikan yang dipancing bapa mentuanya.
Katanya dia dan Suherman dinikahkan di Batam, Kepulauan Riau, selepas pihak berkuasa di Lombok enggan menikahkan mereka.
Selepas berkahwin, mereka menetap di kampung suaminya di Desa Tembeng Putih, Lombok.
Abu Bakar pula berkata beliau membuat laporan polis di Balai Polis Mahang, Kulim dan di Balai Polis Sepang, Selangor selepas Rosnah didapati hilang pada Jun 2007.
“Kami ahli keluarga termasuk teman-teman Rosnah berusaha menjejakinya di Perak, Selangor, Melaka dan Johor tetapi tidak berhasil sehingga anak saya menelefon saya pada 2008 dan meminta bantuan kewangan kerana suaminya masih mengganggur dan keluarga mentuanya miskin, katanya.
Abu Bakar berkata jurunikah di Batam menelefon beliau untuk mendapat keizinan menikahkan Rosnah dan pasangannya itu.
“Atas rasa tanggungjawab dan kasih sayang, saya memberi keizinan dan turut mengirim wang antara RM300 dan RM500 setiap dua bulan sehingga tahun lepas,” katanya. -Pemuda/Bernama

