Oleh Indera Ahmad
Kulai – Ke manakah hilangnya pejuang-pejuang bahasa terutama dari pakatan pembangkang yang sebelum ini begitu lantang membantah dasar Pembelajaran dan Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kononnya menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
“Dulu mereka begitu lantang menentang PPSMI untuk mendaulatkan bahasa Melayu tapi di mana mereka sekarang bila Pengerusi DAP, Karpal Singh mencadangkan kerajaan meminda Perlembagaan bagi membolehkan bahasa Inggeris dijadikan bahasa kedua rasmi negara.
“Kenapa mereka menyorok dalam kelambu? Mana jati diri sebagai pejuang bahasa kononnya”, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Ali Mazat Salleh.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas saranan Karpal supaya kerajaan mempertimbangkan untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua.
Menurut Pengerusi DAP itu, langkah tersebut berikutan bahasa Inggeris tidak diberi tempat sewajarnya dalam prosiding mahkamah sehingga menyebabkan pelabur asing termasuk bertaraf multinasional memilih untuk ke timbang tara daripada membawa kes mereka ke mahkamah tempatan.
Ali Mazat yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Politik Pemuda UMNO seterusnya berkata inilah wajah sebenar pemimpin pembangkang yang hanya pandai beretorik kosong.
“Perjuangan mereka hanya berlandaskan untung rugi politik kepentingan peribadi. Mereka menikus sebab yang beri cadangan rakan politik mereka. Mereka takut Karpal, mereka takut Lim Kit Siang.
“Sebab itu mereka bukan takut menentang malah untuk bersuara sekalipun mereka tak berani”, ujarnya.
Justeru katanya kerajaan tidak perlu melayan cadangan Pengerusi DAP itu dan tidak terperangkap dengan mainan politik murahan pembangkang.
Tegas beliau lagi segala yang termaktub dalam Perlembagaan negara termasuk berkaitan bahasa rasmi tidak perlu dipinda dan dipertikaikan lagi.
“Bukankah Perlembagaan negara sudah jelas menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan martabat bahasa tersebut perlu dipelihara dan dikekalkan sebagai satu-satunya bahasa rasmi.
“Kerajaan mesti tegas dan tidak perlu layan isu-isu murahan seperti itu”, katanya.
Difailkan dalam: Isu Semasa
Dato' Ahmad bin Said








