Posted on 23 November 2009 by Pemuda UMNO Kemaman
Oleh Yus Iskandar

Kota Bharu — Perletakan jawatan menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abd Rahman sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) tidak akan memadamkan isu kronisme dan rasuah yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Meskipun menganggap tindakan peletakan jawatan tersebut sebagai terlambat, Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Mohd Afandi Yusof tetap menyifatkan keputusan itu pilihan terbaik dan bertanggungjawab.
Jelas beliau pihaknya melihat Ariffahmi lebih bertanggungjawab setelah mengambil kira isu yang berlaku terhadap dirinya.
Menurut beliau Ariffahmi mungkin mengambil kira pelbagai desakan khususnya desakan daripada Pemuda UMNO Kelantan yang sebelum ini mendesak Nik Aziz serta menantunya meletakkan jawatan masing-masing.
“Sepatutnya Ariffahmi meletakkan jawatan sejak tercetusnya isu yang berlaku di dalam PMBK dulu.
“Apa pun kita melihat perletakan jawatan berkenaan bukanlah jalan penyelesaian segala-galanya kerana rakyat juga ingin tahu apa yang berlaku sehingga beliau disiasat oleh SPRM baru-baru ini”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas perletakan jawatan Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkuat-kuasa hari ini.
Justeru beliau yang juga Ketua Pemuda Rantau Panjang berharap Nik Aziz menjadikan langkah menantunya itu sebagai contoh yang perlu dituruti.
Ini kerana katanya Nik Aziz sebelum ini turut terpalit dengan penajaan untuk mengerjakan haji oleh sebuah syarikat di negeri berkenaan.
“Seandainya Nik Aziz seorang pemimpin bertanggungjawab, beliau perlu meletakkan jawatan sepertimana menantunya bagi membuktikan beliau seorang pemimpin yang bersih dan amanah”, ujarnya.
Isu menantu Nik Aziz timbul setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu PMBK dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) yang mempunyai peranan begitu besar pada Ogos tahun lepas dan awal bulan ini.
Pada 11 November lalu, Blogger Kickdefella dan juga bekas pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata beliau bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perbadanan itu.
Difailkan dalam: Isu Semasa