Hasil daripada keputusan yang dibuat oleh para pemimpin PAS sejurus selesainya mengadakan mesyuarat Khas Jawatankuasanya lewat malam tadi bersetuju untuk mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan hala tuju parti.
Persoalannya, mampukan seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara ini merungkai permasalahan yang membelenggu para pemimpin PAS sedangkan Mursyidul Amnya, Nik Aziz Nik Mat sendiri yang menyatakan bahawa beliau telah matang dan tahu selok belok politik turut terperangkap sama.
Dikatakan seminar tersebut dibuat bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Nik Aziz dan akan diadakan 7 November ini di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Berkait dengan persoalan tersebut, walau apa pun nama mesyuarat tergempar waima seminar sekalipun yang akan diadakan, hakikat sebenarnya PAS memang berdepan dengan masalah kepimpinan dan percanggahan pendapat dalam membawa PAS di arena politik.
Sememangnya, pertelingkahan yang berlaku di dalam PAS tidak dapat disembunyikan malah dari hari ke hari kepimpinan tertinggi parti tersebut seakan tidak berpuas hati dan saling menegakkan idea masing-masing.
Bermula dengan suara Presidennya, Hadi Awang yang mencadangkan idea kerajaan perpaduan dan sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja waima UMNO demi kepentingan negara tetapi Mursyidul Amnya, Nik Aziz pula menafikan malah menentang keras cadangan tersebut.
Ini belum lagi dengan suara daripada Timbalan Presidennya, Nasharudin yang melahirkan keikhlasan hendak berbincang berkaitan langkah perpaduan dengan menegaskan bahawa perbincangan tersebut bukan bermakna PAS masuk UMNO.
Namun demikian, berbeza pula dengan tindakan Setiausaha Agungnya, Mustafa Ali yang cuba pula meletakkan syarat bagi mengadakan rundingan dengan UMNO.
Dalam hal ini, permintaan Mustafa dilihat langsung bertentangan dengan idealogi PAS apabila bergantung kepada PKR dan DAP kerana mahukan rakan sekutunya itu diajak sekali berunding dalam hal kerajaan perpaduan.
Ini secara jelas juga menunjukkan bahawa PAS terpaksa akur dengan telunjuk PKR dan DAP.
Nik Aziz jelas tidak mahu bertolak ansur dan enggan berkompromi biarpun dengan ahlinya sendiri malah ketidaksepakatan tersebut telah membuatkan Nik Aziz pernah mengeluarkan kenyataan meminta Nasharudin keluar PAS dan masuk UMNO.
Sudahlah begitu, sepuluh ahli Parlimen PAS juga dilaporkan turut menandatangani surat sokongan kepada kenyataan Nik Aziz sebagai bangkangan cadangan idea Hadi Awang dan timbalannya.
Ini belum lagi berkait dengan permasalahan berkaitan Pesuruhjaya PAS Selangor, Hassan Ali yang namanya turut sama terpalit.
Lantas, apa idealogi sebenar PAS?
Difailkan dalam: Isu Semasa
Dato' Ahmad bin Said








